Rawatan Bekam adalah salah satu warisan perubatan Islam yang dianjurkan oleh Rasullullah s.a.w dimana rawatan bekam ini adalah cara untun melepasan angin dalam badan atau melepaskan darah kotor dari badan

Home Top Ad

Oleh Nurul Halawati Azhari KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) — Adalah menjadi lumrah pada hari seseorang bergelar raja sehari, setiap bakal pe...

Bekam Lintah Untuk Pengantin

Oleh Nurul Halawati Azhari

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) — Adalah menjadi lumrah pada hari seseorang bergelar raja sehari, setiap bakal pengantin ingin kelihatan anggun, cantik, berseri-seri ataupun tampan pada majlis yang bersejarah dalam kehidupan mereka.

Menjelang hari yang dinanti-nantikan itu pengantin perempuan terutamanya, dalam setiap kaum, akan sibuk menjalani terapi kecantikan dan sesetengah cara tradisional yang dilaksanakan mungkin nampak agak pelik.

Dalam budaya masyarakat Melayu, terapi kecantikan yang selalu dilakukan meliputi penggunaan bahan semulajadi seperti skrub tumbuh-tumbuhan, terapi batu panas, mandi susu dan mandi bunga.

Terapi ini bukan sahaja bertujuan untuk mendapatkan tubuh yang bersih dan mulus serta menaikkan seri pengantin namun penting dalam meningkatkan lagi keyakinan menghadapi hari bahagia itu.

Namun, terdapat pendekatan terbaru yang ditawarkan dalam pakej spa perkahwinan tersebut iaitu bekam lintah.

BIAR LINTAH LAKUKAN TUGAS

Namun, usaha menjadikan bekam lintah sebagai satu rawatan di spa kecantikan adalah langkah bijak bagi memperkenalkan rawatan kesihatan ini. Jika sebelumnya ramai yang takut-takut atau geli mencuba kaedah ini, impaknya lebih positif apabila ia dinaiktaraf menjadi produk di spa malah keyakinan terhadap kaedah berbekam menggunakan lintah turut meningkat.

Keyakinan bahawa perkhidmatan di spa selalunya profesional, bersih dan terjamin kualitinya membawa kepada kerjasama di antara dua buah syarikat yang berkaitan dengan kesihatan dan kecantikan.

Menurut pakar terapi kecantikan Jelitasari Spa & Beaute Spa, Fadzillah Hamid, kaedah bekam lintah dimasukkan dalam pakej perkahwinan bertujuan ingin memberi kelainan kepada bakal pengantin.

Selain untuk kesihatan, kaedah rawatan alternatif ini juga membantu dalam menaikkan seri wajah disebabkan perjalanan darah yang telah lancar.

Pakej perkahwinan yang disediakan di spa yang beroperasi di Hotel Quality Shah Alam ini bukan hanya kepada bakal mempelai perempuan tetapi turut menyediakan pakej buat pasangan yang bakal ke jinjang pelamin.

Pengunjung boleh memilih mana-mana pakej yang bermula pada harga RM350 hingga RM4,500.

Antara pakej perkahwinan yang disediakan ialah pakej rawatan wajah, rawatan badan iaitu urutan aromaterapi, skrub dan lulur. Bakal pengantin juga boleh menyegarkan diri dengan rawatan mandian wap, aromaterapi, susu, bunga atau herba.

Pakej pengantin yang ditawarkan turut meliputi rawatan pedicure dan manicure serta rawatan rambut. Kesemua rawatan tersebut akan diakhiri dengan bekam lintah. Prosedurnya dijalankan oleh pakar bekam lintah dari AZR Agro Centre.

RAHSIA BERBEKAM

Menurut pakar bekam lintah AZR, Syahrul Nizam Sudin, 32, kaedah berbekam tidak mengambil masa yang lama.

“Ia boleh mengambil masa selama 20 minit hingga dua jam bergantung kepada masalah dan jumlah darah kotor yang dihisap oleh lintah. Tetapi bakal pengantin terutamanya wanita tidak perlu bimbang dengan kesan parut yang tinggal kerana ia tidak kekal dan boleh hilang dalam tempoh beberapa minggu sahaja,” katanya yang turut mencadangkan bakal pengantin mencuba kaedah ini tiga atau dua bulan sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan.

Usah bimbang akan keselamatan dan kebersihan kerana menurut Syahrul Nizam spesies lintah dari jenis Eropah yang digunakan tersebut hanya digunakan sekali sahaja dalam rawatan. Lintah tersebut kemudiannya akan diasingkan dan dibiarkan mati selepas beberapa minggu.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa kaedah berbekam membantu menghilangkan pening dan migrain, membuang angin dalam badan, melegakan pernafasan dan sistem perkumuhan.

Ia turut digunakan bagi membantu memecahkan lemak, peluh dan melegakan demam. Selain itu berbekam juga dapat memulihkan ketegangan urat leher, belikat, pinggang dan urat sendi di kaki.

Selain untuk rawatan pengantin, AZR turut menjalankan kerjasama dengan JelitaSari menjalankan rawatan bekam lintah untuk pengunjung yang memilih pakej biasa.

Lintah, haiwan dwi jantina tanpa tulang belakang ini asal wujudnya adalah menghisap darah kotor dan tergolong dalam keluarga cacing.

Ia diketahui baik untuk kesihatan apabila enzim (air liur) yang ditinggalkan pada kulit bekas gigitannya itu dikatakan mampu mencairkan darah beku.

“Malah, lintah tidak menghisap darah yang banyak. Paling maksimum iaitu 3-4 ekor lintah dan menghisap darah tidak sampai 120 mililiter,” terang Syahrul Nizam.

Menurutnya, berbekam juga dapat membantu meringankan tubuh. Ia membuang darah kotor yang terkumpul di bawah permukaan kulit menyebabkan rasa berat, malas dan mengantuk. Ia turut membantu menajamkan penglihatan yang kabur kerana peredaran darah ke mata yang tersumbat.

Bekam bukanlah kaedah baru kerana kaedah ini telah digunakan sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W lagi yang menggunakan cawan atau mangkuk kaca untuk berbekam. Manakala pada zaman Cina kuno pula, mereka berbekam menggunakan tanduk. Kaedah ini juga popular di kalangan orang Eropah pada abad ke-18 sehinggalah sekarang.

KHASIAT BEKAM UNTUK PENGANTIN

Bekam lintah sebenarnya sesuai dilakukan sama ada oleh bakal mempelai lelaki mahupun wanita. Sebagai persiapan menghadapi malam pertama, ia bukan sahaja melancarkan perjalanan darah tetapi boleh memberikan wajah lebih berseri dan segar.

Bagi wanita pula, bekam lintah dapat mengurangkan kesakitan akibat senggugut, mengurangkan resdung dan melegakan sakit kepala akibat migrain.

“Kaedah ini turut digunakan untuk membuang angin di dalam badan. Sewaktu berbekam, lintah tersebut turut menghisap angin, dan selepas selesai berbekam, oksigen dalam badan dapat ditingkatkan,” jelas Syahrul Nizam.

Bagi bakal pengantin yang mahu mencuba kaedah ini, bolehlah menghubungi JelitaSari Spa & Beaute untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut di talian 03-55195031 atau AZR Agro Centre di talian 03-31803994.

– BERNAMA

1 comment:

  1. Harga promosi RM120/RM150 adalah mahal bagi saya mungkin tak berbaloi.

    ReplyDelete