Rawatan Bekam adalah salah satu warisan perubatan Islam yang dianjurkan oleh Rasullullah s.a.w dimana rawatan bekam ini adalah cara untun melepasan angin dalam badan atau melepaskan darah kotor dari badan

Home Top Ad

Apabila disebut lintah, perasaan geli, takut dan gerun antara persepsi yang membayangi fikiran, khususnya wanita yang sememangnya ‘alergi’ t...

Bekam Lintah

Apabila disebut lintah, perasaan geli, takut dan gerun antara persepsi yang membayangi fikiran, khususnya wanita yang sememangnya ‘alergi’ terhadap haiwan itu.

Bentuk tubuh sedikit berbulu, licin dan liat, malah dikenali sebagai ‘penghisap darah’ cukup untuk menimbulkan mimik muka berkerut, apatah lagi jika diminta memegang atau ‘bermesra’ dengannya.

Bagi yang biasa atau ‘bermain’ dengan haiwan daripada kelompok Filum Annelida atau cacing itu, lintah boleh dikatakan sejenis haiwan unik.

Jika satu ketika dulu lintah hanya menghuni sawah padi, kini lebih 300 jenis atau spesies lintah dari seluruh dunia dicari, malah ramai menternaknya untuk tujuan komersial.

Kelebihan yang ada pada lintah menjadikan haiwan itu ‘sasaran’ dan perhatian ramai. Bukan hanya berupaya merawat sakit kepala (migrain), resdung atau kudis, tetapi juga pesakit kanser payu dara, sakit pinggang, senggugut, gout, strok, kencing manis dan darah tinggi.

Menyedari khasiatnya, lintah hari ini digunakan dalam bidang perubatan, termasuk untuk proses pembekaman. Melalui cara itu darah kotor atau yang tidak diperlukan dalam badan boleh dibuang tanpa rasa sakit dan menyusahkan.

Sama ada kepala, leher, badan atau kaki, lintah boleh diletakkan di mana saja untuk mengeluarkan darah kotor sambil seseorang itu melakukan pelbagai kerja sementara lintah menjalankan tugasnya.

Percaya atau tidak, melalui proses itu, daripada bersaiz sebatang rokok, lintah boleh membesar dan bertukar saiz sehingga tiga kali ganda atau mencecah 20 sentimeter dengan kandungan darah kotor.

Pakar bekam lintah AZR Agro Centre, Syahrul Nizam Sudin, 32, berkata melalui bekam lintah, darah kotor dalam badan dikeluarkan melalui air liur dikenali sebagai salira lintah yang mengandungi zat anti pembekuan darah berfungsi ‘mencairkan’ darah beku, sekali gus melancarkan perjalanan darah selepas darah kotor dikeluarkan.

Menurutnya, dalam proses membekam itu lintah turut menghisap angin selain darah dan selepas tamat, oksigen dalam badan dapat ditingkatkan.

“Dalam proses ini kami menggunakan lintah Asia daripada jenis Hirudinamia Manillensis yang mengeluarkan enzim hirudin untuk mencairkan darah beku. Gigitannya baik, malah cepat mencari di mana ada darah kotor,” katanya.

Syahrul Nizam yang berpengalaman empat tahun dalam bidang pembekaman berkata, bagi memastikan ia menghisap darah dengan baik dan berkesan, lintah tidak diberi makan atau ‘berpuasa’ seminggu hingga sebulan.

Menurutnya, dalam proses itu hanya lintah bersaiz kecil diambil kerana ketika pembekaman dijalankan, saiznya berubah dan selepas digunakan, lintah diasing dan disimpan sehingga mati bagi mengelak darah kotor dijangkiti orang lain.

“Lintah digunakan sekali saja untuk setiap orang dan apabila sudah digunakan, kita asingkan, dalam tempoh dua atau tiga minggu, ia mati dengan sendiri,” katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya, Syahrul Nizam berkata, jumlah penggunaan lintah bergantung kepada masalah dihadapi seseorang.

“Lintah paling sikit digunakan ialah tiga ekor dan paling banyak sehingga 20 ekor untuk satu masa.

“Sebenarnya ia bergantung kepada masalah dihadapi, misalnya jika senggugut, tiga ekor lintah cukup untuk diletakkan di belakang bahagian pinggang, malah ada yang kena kanser payu dara, saya letakkan 13 ekor di sekitar kawasan barah dan selepas menjalani enam kali rawatan, bengkak itu mengecut,” katanya.

Selain itu, dia pernah menerima kedatangan pesakit strok dan selepas menjalani rawatan sebanyak lapan kali, tangan yang membengkak mula surut, malah anggota badan yang diserang penyakit itu mula bergerak.

Katanya, dia pernah mengalami pengalaman unik ketika membuat rawatan pesakit strok apabila lintah yang baru diletakkan mati serta-merta, begitu juga jika diletakkan di darah yang disahkan ada HIV atau Aids.

Menurutnya, proses pembekaman lintah bergantung selama mana lintah berkenaan mampu menghisap darah kotor sehingga kenyang.

“Biasanya dalam tempoh dua jam lintah jatuh sendiri dan seelok-eloknya kita biarkan haiwan ini sehingga jatuh, tetapi ada yang lebih daripada itu misalnya sehingga empat atau lima jam,” katanya.

Menurutnya, selepas menjalani proses pembekaman, seseorang itu dapat merasakan badan lebih ringan dan selesa, selain masalah dihadapi beransur kurang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AZR Agro Centre, Mustafa Abdul Wahab, berkata sebelum menjalankan terapi lintah, pihaknya menyediakan tiga rawatan utama iaitu urutan kaki atau refleksologi, mandi wap dan urutan badan.

Katanya, melalui urutan kaki, penyakit seseorang dapat dikesan sama ada pada tahap biasa atau kronik dan pihaknya menyarankan pembekaman lintah dijalankan di tempat yang ada penyakit serius.

“Urutan kaki dapat bantu kesan penyakit, manakala mandi wap untuk tingkatkan suhu badan supaya liang pembuluh darah berkembang dan darah mengalir lancar.

“Selepas itu urutan badan dijalankan supaya ketumpatan darah toksik dapat mengalir sebelum kita gunakan lintah untuk mengeluarkan darah toksik,” katanya.

Menurutnya, pesakit seawal usia dua tahun sudah boleh menggunakan rawatan berkenaan dan beliau menyarankan rawatan bekam lintah dijalankan berulang kali supaya mendapat kesan lebih baik.

“Kita menyediakan pakar untuk setiap rawatan dan saya nasihatkan datang berulang kali supaya mendapat kesan lebih baik. Kami di sini memantau setiap rawatan supaya penyakit yang dihadapi berkurangan,” katanya.

Oleh FUAD HADINATA YAACOB

Sumber Metro Ahad Ahad, 03 Ogos 2008

0 comentários: